GEORGE TOWN: Gara-gara tahanan reman yang sepatutnya dibebaskan tertidur, seorang suspek lain yang dalam proses ditahan reman "lolos" dalam kejadian di Mahkamah Majistret di sini, Selasa.Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian 2.30 petang itu lelaki tersebut yang baharu hendak direman mengaku dia adalah pemilik nama tahanan yang dipanggil untuk dibebaskan. Lelaki yang sepatutnya dibebaskan berkenaan tidak menyahut walaupun dipanggil beberapa kali oleh majistret, menyebabkan suspek yang sebelum itu dibawa bersama 20 lagi ke bilik reman tersebut mengambil kesempatan, katanya pada sidang media, di sini Rabu."Suspek kemudiannya keluar dari bilik reman selepas garinya dibuka. Selepas beberapa ketika baru disedari berlaku kesilapan dan anggota polis yang bertugas memeriksa bangunan mahkamah bagi mengesan suspek namun gagal," katanya.Beliau mengulas kejadian seorang tahanan yang dilapor meloloskan diri ketika proses reman, Selasa.Suspek yang berusia 61 tahun itu sepatutnya direman mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah berbahaya.Dia yang berambut panjag dan berjanggut memakai baju-T biru berbelang putih ketika kejadian.Gan berkata polis telah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek yang berasal dari Gelugor itu.Dalam pada itu beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Abdul Rashid Abdul Rahman agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2282222 atau balai polis berdekatan. - BERNAMA