BUKIT KAYU HITAM: Taktik menyeludup masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api ketika anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sedang berbuka puasa gagal setelah tertangkapnya dua lelaki berumur 29 dan 59 tahun malam Isnin.Komander UPP Bukit Kayu Hitam, ASP Shahidan Ladin berkata pihaknya merampas pelbagai jenis bunga api bernilai RM800 daripada dua kereta di kilometer 1.3 lebuhraya Utara-Selatan arah Changlun kira-kira 8.45 malam. Katanya hasil pemeriksaan terhadap kereta pertama, lelaki 29 tahun dari Pulau Pinang, anggota UPP mendapati ada pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM500 yang disorok di bawah tempat letak kaki penumpang belakang.Beliau berkata pihaknya menemui pula mercun dan bunga api disorok di bawah peralatan pertukangan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dalam sebuah lagi kereta jenis Proton Saga milik lelaki 56 tahun dari Alor Setar."Suspek (59 tahun) seorang kontraktor kecil, dia sorok mercun dan bunga api di bawah barang-barang kerja dia. Dia (pemandu kereta) juga turut seludup 30 bungkus tepung beras dan 75 kilogram beras pulut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Selasa.Shahidan berkata pihaknya akan mengetatkan kawalan di pintu sempadan dan kawasan sekitarnya terutama pada waktu berbuka bagi mengelakkan penyeludup mengambil kesempatan untuk lolos masuk ke negara ini.Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan (barang larangan) boleh didenda 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.Sementara itu, Shahidan berkata pihaknya juga turut merampas 500 liter petrol bernilai RM950 yang cuba diseludup ke Thailand oleh rakyat negara itu yang berumur 31 tahun.Kenderaan pikap yang mempunyai tangki tambahan di bahagian belakang dan depan itu ditahan UPP Bukit Kayu Hitam di kilometer 1.3 lebuh raya Utara-Selatan arah Thailand kira-kira 3.20 petang Isnin.Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan, jika sabit kesalahan pertama bagi individu denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara dan kesalahan kedua denda RM200,000 atau denda lima tahun penjara. - BERNAMA