Alvin (kanan) dan pasangannya, Vivian.KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee pada Jumaat memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak membenarkan mereka diikat jamin atas tiga tuduhan.Peguam yang mewakili mereka Chong Joo Tian memberitahu pemberita, beliau memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini pada pukul 3.50 petang Jumaat. Pasangan itu berdepan tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah.Mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!" yang mengandungi logo Halal.Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas.Pada Khamis, Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran tidak membenarkan Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, diikat jamin sementara menunggu perbicaraan, atas sebab kepentingan awam.Hakim, Murtazadi menetapkan sebutan kes pada 23 Ogos.Tan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Lee di Penjara Kajang.Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan. - BERNAMA