KUALA BESUT: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap mengiktiraf golongan wanita di negara yang turut menyumbang kepada pembangunan negara dari segi politik dan sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek."Sejak merdeka hinggalah hari ini ramai golongan wanita di Malaysia mampu menyandang jawatan tertinggi dalam pelbagai bidang penting dalam kerajaan," katanya ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama 32 ibu tunggal dan 62 anak yatim di sini Sabtu. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Rothiah Omar dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Nor Hayati Ismail.Ahmad Shabery berkata sebagai kerajaan, BN tidak pernah menafikan hak wanita dalam setiap bidang termasuk politik."Tidak dinafikan golongan hawa ini memainkan peranan penting bagi memastikan kemenangan BN termasuk dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut," katanya.Beliau berkata kepimpinan kaum wanita sepanjang kempen PRK ini amat ketara dan banyak membantu jentera parti."Kita amat hargai jasa dan pengorbanan golongan wanita yang sanggup berkorban dengan menjalankan kempen sepanjang PRK ini berlangsung," katanya.Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Jemaah Al-Ehsan Islamiyyah Malaysia cawangan Kuala Besut dan Kelantan, menyatakan sokongan terbuka kepada calon BN pada PRK DUN Kuala Besut, Rabu ini.Sokongan itu dinyatakan pengerusinya Zakaria Salleh, 58, yang turut membawa 50 penyokongnya di hadapan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dalam satu sidang media di sini.Katanya kumpulan berkenaan telah tersilap dan menyesali selepas mereka yang dianggotai seramai 200 ahli sebelum ini telah menyatakan sokongan penuh terhadap pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas."Kita lihat PAS sudah tidak relevan dalam memperjuangkan agama dan bangsa serta perubahan yang berlaku di Besut telah membuat hati kami tertarik untuk menyatakan sokongan sepenuhnya kepada BN demi kebaikan semua," katanya.PRK DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, yang meninggal dunia 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. - BERNAMA