PETALING JAYA: Tenggiling adalah haiwan eksotik yang paling kerap dirampas dalam serbuan ke atas penyeludupan hidupan liar ekoran permintaan tinggi terhadap haiwan itu dari China dan Vietnam.
Dua daripada lapan spesies tenggiling kini disenaraikan sebagai haiwan terancam dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.
Tenggiling dikehendaki kerana dagingnya manakala sisiknya amat dihargai pengamal perubatan tradisional Cina.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya mematahkan 50 kes cubaan penyeludupan sejak 2010 dan merampas hampir 1,500 tenggiling.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata beliau menjangkakan permintaan untuk tenggiling meningkat pada musim sejuk yang akan datang di China.
"Berdasarkan rekod kami, kebanyakan tenggiling diseludup ke negara jiran, termasuk Thailand dan Vietnam.
"Sebahagian besar daripadanya turut diseludup ke China.
"Malaysia merupakan pusat transit kerana kita menemui beberapa ekor tenggiling di sini yang dibawa masuk dari Indonesia," katanya kepada The Star.
Pada Julai, pegawai Perhilitan berjaya menumpaskan tiga kes penyeludupan hidupan liar dengan salah satunya di Bukit Kayu Hitam, Kedah, di mana 30 ekor tenggiling ditemui dalam but kereta.
"Kebanyakan cubaan untuk menyeludup keluar tenggiling adalah menggunakan kenderaan," katanya.
Tenggiling yang dirampas akan ditandakan dengan mikrocip sebelum dilepaskan kembali ke dalam hutan sebaik saja disahkan sihat.
Abdul Kadir menegaskan aktiviti penguatkuasaan Perhilitan akan diteruskan dengan kerajsama beberapa agensi seperti polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).