Alvin dan Vivian yang mempersendakan bulan Ramadan dikecam pelbagai pihak.KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang ditahan di penjara, akan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin.Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang membenarkan permohonan mereka bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin. Mohd Azman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff."Setelah mahkamah menyemak perintah Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman, mahkamah memberi jaminan RM10,000, masing-masing kepada kedua-dua pemohon dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan," kata hakim itu.Alvin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Vivian di Penjara Kajang menghadapi tiga pertuduhan.Mereka tidak hadir di mahkamah pada Khamis.Mohd Azman turut mengenakan empat syarat tambahan kepada mereka, iaitu pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan.Mahkamah turut melarang mereka memuat naik artikel, komen, gambar lucah atau jelek serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.Selain itu, mereka juga dihalang daripada menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet untuk memuat naik gambar, komen dan artikel yang boleh menghasut dan menimbulkan permusuhan antara kaum.Bagaimanapun, Mohd Azman mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu dibicarakan bersama selepas mendapati ia melibatkan transaksi dan saksi sama.Terdahulu, Chong berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya yang menafikan jaminan atas alasan kepentingan awam."Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh di mahkamah dan alasan kepentingan awam telah disalahtafsirkan oleh mahkamah seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan bermula," katanya sambil menambah pasangan itu mengemukakan permohonan maaf pada 14 Julai lepas.Ishak pula berhujah jaminan tidak perlu diberi kepada kedua-dua pemohon dengan alasan mereka mempunyai kecenderungan untuk mengulangi kesalahan yang sama meskipun permohonan maaf telah dibuat."Walaupun permohonan maaf dibuat melalui YouTube dan Facebook, tetapi kedua-dua pemohon masih lagi memuat naik benda yang sama dan ini tidak menunjukkan mereka benar-benar menyesal," katanya.Pada awal prosiding, mahkamah menolak bantahan awal pihak pendakwaan untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan pasangan itu.Dalam hujahan bantahan awalnya, Chong juga membangkitkan isu bahawa kedua-dua anak guamnya diletakkan berasingan daripada tahanan lain di dalam penjara seolah-olah mereka sudah dihukum.Hakim Azman berkata tindakan meletakkan pasangan itu berasingan menunjukkan pihak pendakwaan prihatin terhadap tertuduh."Kalau letak sekali takut mereka kena hentam. Kesian kepada mereka. Tengok betapa prihatinnya pendakwaan," katanya.Pada 18 Julai lepas, Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.Kesemua kesalahan itu mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Penapisan Filem 2002 dan Kanun Keseksaan.- BERNAMA