KUALA LUMPUR: Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) yang mempunyai 20 rekod jenayah, mati ditembak dalam sekatan jalan raya oleh polis di Kepong di sini awal pagi Selasa.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada 2.15 pagi dan diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri. "Suspek yang berasal dari Kedah itu tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis, namun sasarannya terlepas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini.Beliau berkata lelaki itu kemudian keluar dari kereta untuk melarikan diri menyebabkan polis melepaskan tiga das tembakan ke arahnya."Suspek cedera di kaki kiri, perut dan bahu dan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan. Dia meninggal dunia di hospital pada 2.30 petang ini," katanya.Polis turut merampas sepucuk pistol MK semi-auto, enam topeng muka dan sebatang besi dipercayai digunakan untuk aktiviti samun, yang ditemui dalam kereta itu."Kereta Toyota Vios itu dilapor hilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya. BERNAMA