KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji kaedah berkesan bagi membolehkan parti kembali diyakini serta menjadi pilihan masyarakat bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Beliau berkata pemimpin dan anggota parti perlu berkerja keras bagi menterjemahkan kekuatan sebagai satu-satunya parti yang mampu membangunkan ekonomi negara dan juga parti yang suatu ketika dahulu pernah berjuang memerdekakan negara. Mengambil ikhtibar daripada mesej yang disampaikan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Najib berkata bagi memenangi kembali hati penduduk bandar, masalah utama yang menjadi kerisauan mereka iaitu jenayah atau rasuah, lalu lintas dan harga rumah mampu milik perlu terlebih dahulu ditangani."Selain proses dalaman memperbaiki kelemahan parti dan bermuhasabah, kita juga perlu ada perasaaan rendah hati demi rakyat dengan mengenal pasti masalah masyarakat bandar yang perlu diperjuangkan sehingga memberi kepuasan kepada mereka," katanya.Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Umno dan BN serta masyarakat Wilayah Persekutuan di Masjid Muadz Al-Jabbar di sini.Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, berkata kerajaan komited untuk memerangi jenayah dan rasuah bagi memastikan rakyat bebas dari ancaman jenayah berat, ragut dan pecah rumah.Beliau berkata kerajaan juga mahu memastikan semua rakyat, sama ada berpendapatan rendah dan tinggi dapat menggunakan kemudahan pengangkutan awam dengan selesa bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas."Seperti bandar London dan New York, yang mana semua rakyat berpendapatan tinggi, mereka juga gunakan pengangkutan awam, kalau kita boleh sampai ke tahap itu kita boleh beri kepuasan kepada rakyat," katanya.Katanya kerajaan juga akan membina 85,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang di Wilayah Persekutuan, dengan harga dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 bagi memenuhi permintaan masyarakat bandar.Dalam pada itu, Najib mengajak rakyat bersyukur kerana dapat mengamalkan ibadah puasa dengan penuh ketenangan berbanding negara-negara Islam lain yang sedang berada dalam kancah pergolakan yang dahsyat.Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan sumbangan Aidilfitri dan duit raya kepada 1,500 anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU), fakir miskin dan ibu tunggal di sekitar Parlimen Setiawangsa.Najib turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama ribuan jemaah di masjid berkenaan.Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. BERNAMA