suria

100 Hilang Tempat Tinggal, 31 Rumah Setingan Terbakar Di Sentul

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 orang kehilangan tempat tinggal selepas 31 rumah setinggan di Kampung Puah Bahagia, Sentul di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi Ahad.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.50 tengah malam dan 10 jentera bomba bersama 65 anggota digegas ke tempat kejadian.

Walaupun pihak kami mengambil masa yang sangat singkat untuk sampai ke tempat kejadian, usaha memadamkan api tidak dapat dilakukan dengan pantas kerana ketiadaan pili bomba di situ, katanya kepada Bernama, di sini.

"Kami terpaksa mengambil air di kawasan perumahan Flat Bandar Baru Sentul yang jaraknya 500 meter dari tempat kejadian sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.30 pagi.

"Rumah yang terlibat hampir 100 peratus terbakar bagaimanapun tiada mangsa cedera dilaporkan," katanya.

Seorang mangsa S. Amaran, 47, berkata dia menyedari kebakaran itu pada 12.30 tengah malam selepas melihat asap keluar berkepul-kepul dari tingkap rumah jiran di hadapan rumahnya.

Dia kemudian menjerit "api, api" serta berlari mengetuk pintu rumah-rumah berhampiran kerana ketika kejadian kebanyakan penghuni sudahpun tidur.

Kami sukar nak padamkan api itu kerana bekalan air terputus sejak pukul 2 petang semalam dan api pula marak dengan cepat, katanya.

Dia turut mengalami kerugian hampir RM45,000 selepas gagal menyelamatkan semua barangan berharga termasuk motosikal dan barangan kemas.

Mohd Zakwan Aiman Mohd Tajudin, 23, pula berkata ketika kejadian dia sedang menonton televisyen apabila terdengar jeritan "api, api".

"Lepas itu, saya keluar dan nampak api sudah marak di rumah jiran saya menyebabkan saya pantas mengejutkan adik-beradik, ayah dan mak yang sedang tidur," katanya.

Menurut penuntut di sebuah universiti swasta itu rumah yang dipercayai punca kebakaran berkenaan ditinggalkan sejak pagi semalam oleh pemiliknya yang bercuti. - BERNAMA

Artikel Lain