KOTA TINGGI: Anggota Umno berhak untuk menilai prestasi seseorang pemimpin parti itu dan seterusnya menentukan sama ada mereka perlu dikekalkan atau tidak dalam jawatan masing-masing, kata anggota Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohd Sadique.Halimah yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sebagai parti yang mengamalkan sistem demokrasi, hak anggota Umno untuk memilih pemimpin adalah terjamin. "Apabila tiba masa pemilihan di dalam Umno, maka hak itu perlu dikembalikan semula kepada anggota parti. Jikalau anggota parti merasakan perlunya kesinambungan (di dalam kepimpinan), terpulang kepada mereka." "Anggota parti berhak membuat penilaian berdasarkan kepada prestasi sepanjang tempoh mereka memimpin," katanya kepada pemberita ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di sini, Jumaat.Halimah berkata demikian semasa ditanya sama ada jawatan Ketua Wanita Umno yang kini disandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu dipertandingkan. Ditanya tentang spekulasi yang mengatakan beliau berminat untuk bertanding merebut jawatan tertinggi Wanita Umno itu, Halimah berkata, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai kemungkinan tersebut. "Pendaftaran (untuk jawatan Ketua Wanita Umno) masih lagi terbuka, so kita tunggu dan lihat," katanya yang juga bekas Ketua Wanita Umno Johor.Selain Halimah, seorang lagi nama disebut-sebut berminat untuk mencabar Shahrizat adalah anggota Parlimen Pengerang dan bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said.Menurut Halimah, apa yang lebih penting bagi Wanita Umno kini adalah tiga perkara iaitu mengukuh dan memperkuatkan parti, menyatupadukan anggota parti serta menyediakan agenda kerja parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14). "Bukan keutamaan sama ada saya bertanding jawatan ini atau itu tetapi adalah tiga perkara itu. Soal siapa yang hendak bertanding apa pada saya adalah tidak penting," katanya."Soal yang lebih penting kini adalah bagaimana untuk mengukuhkan Umno," tambahnya. -BERNAMA