suria

Warga Nigeria Dalangi Sindiket 'Parcel' Diberkas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan membabitkan warga Nigeria dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Maharajalela di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam serbuan pukul 10 pagi itu polis memberkas empat lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan yang dipercayai aktif menipu menggunakan helah bungkusan hadiah.

Kes terbongkar susulan laporan polis oleh seorang pelajar wanita yang curiga selepas kenalan lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook sejak awal tahun ini memintanya membayar sejumlah wang bagi 'melepaskan' bungkusan hadiah untuknya yang ditahan oleh Jabatan Imigresen. "Suspek memberitahu mangsa yang dia membawa hadiah istimewa tetapi ditahan oleh pihak imigresen dan untuk melepaskan hadiah itu mangsa diarah membayar RM1,630 ke dalam akaun milik seorang wanita.

"Bagaimanapun selepas mendepositkan duit itu suspek meminta lebih banyak wang, sekali gus menimbulkan rasa curiga mangsa yang membuat laporan polis," katanya pada sidang media, di sini, Jumaat. Siasatan membawa polis ke tempat penginapan suspek dan kumpulannya di hotel terbabit dan dalam serbuan itu polis merampas empat unit komputer riba, enam telefon bimbit, 10 kad pengeluaran wang automatik, enam buku akaun bank serta sebuah kereta jenis Kia Spectra, katanya.

"Pemeriksaan ke atas kereta itu juga mendapati sebungkus dadah jneis syabu seberat 1.03 kilogram disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu," kata Mohan Singh.

Katanya siasatan awal mendapati suspek utama tiba di negara ini pada 20 April lepas dan kesemua mereka yang berusia antara 29 dan 32 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Mengulas kes lain, Mohan Singh berkata polis hari ini menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Cheras.

Suspek yang berusia 22 tahun itu diberkas oleh polis peronda pada pukul 11.05 pagi ketika menaiki motosikal bersama seorang lagi lelaki yang berjaya meloloskan diri, di Taman Taynton View di sini.

Pasukan peronda polis mencurigai tindak-tanduk lelaki itu yang pada mulanya memberi alasan hendak bermain badminton bersama rakannya yang membonceng motosikal itu. "Menyedari mereka dicurigai, pembonceng melompat daripada motosikal dan berjaya meloloskan diri sementara penunggang terus ditahan bersama begnya dan hasil pemeriksaan ke atas beg raket badminton itu polis menemukan sebilah parang dan pisau," kata Mohan Singh. -BERNAMA

Artikel Lain