suria

Belum Putuskan Wujud Kembali Undang-Undang Pencegahan - PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad sama ada mewujudkan kembali undang-undang pencegahan bagi menentang jenayah serius di negara ini.

"Kami belum buat keputusan muktamad. Kami mahu lihat sama ada undang-undang sedia ada sudah cukup (berkesan) buat masa ini.

"Kami sedang membincangkan secara intensif sama ada kita memerlukan undang-undang tambahan.

"Satu-satunya masalah dalam undang-undang pencegahan ialah bagaimana anda hendak menangkap seseorang bila jenayah belum berlaku?. Jika hanya atas dasar mengsyaki, apakah sudah cukup untuk menangkap seseorang berdasarkan undang-undang pencegahan?

"Jadi, itu debat yang kami lakukan sekarang dan orang ramai harus sedar bahawa pada masa sama kami prihatin untuk mengurangkan kadar jenayah dan tentang kemungkinan salah guna hak asasi manusia di negara ini," katanya.

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perbendaharaan Malaysia di sini, Isnin.

Antara April dan bulan lepas, 23 kes tembakan di jalan raya dilaporkan di seluruh negara, termasuk yang melibatkan kes berprofil tinggi atau individu terkenal.

Kepada satu soalan, Najib berkata polis dan Jabatan Peguam Negara kini bekerjasama rapat mengkaji sama ada undang-undang sedia ada berkesan dalam menangani jenayah.

"Saya telah membuat komitmen jika undang-undang sedia ada tidak cukup (berkesan) kami akan perkukuhkannya tetapi dengan peruntukan mencukupi untuk melindungi kemungkinan salah guna," kata beliau.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa peningkatan jenayah adalah harga bagi kebebasan, Najib berkata kerajaan cuba mewujudkan keseimbangan yang sebaik-baiknya dari segi kebebasan hak asasi manusia dengan kepentingan dan ketenteraman awam berdasarkan kepada hasrat untuk menjaga kepentingan dan ketenteraman awam.

"Ini merupakan perseimbangan yang perlu kita capai dalam hasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih matang dan memelihara hak asasi individu dan di samping itu tidak mengetepikan hasrat kita untuk menjaga kepentingan awam keseluruhannya," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain