KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 warga tempatan dan tiga warga asing telah dikenal pasti daripada 30 mayat mangsa nahas bas di Genting Highlands yang dibedah siasat setakat ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran pada Khamis.Beliau berkata daripada 14 mayat warga tempatan itu, dua adalah Melayu, 11 Cina dan satu Sikh manakala warga asing masing-masing ialah Bangladesh, Nepal dan Korea Selatan. "Daripada 30 mayat yang dibedah siasat setakat 11 pagi ini, sebanyak 22 adalah lelaki dan lapan perempuan," katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur di sini.Dr Jeyaindran berkata setakat ini, enam mayat telah dituntut oleh keluarga masing-masing manakala proses untuk mengenal pasti identiti mayat lain masih dilakukan.Unit Forensik HKL dijangka selesai menjalankan proses bedah siasat ke atas tujuh lagi mayat pada tengah hari Khamis.Selain itu, katanya seramai 16 mangsa nahas itu selamat dan berada dalam keadaan stabil."Lima orang daripada mereka mendapat rawatan di HKL di mana tiga daripadanya warga Malaysia, seorang Bangladesh dan seorang Thailand. Warga Thailand dan seorang warga tempatan kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.Selain itu, lapan orang lagi ditempatkan di Hospital Selayang terdiri daripada tiga warga tempatan, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, seorang warga tempatan dan seorang warga Korea Selatan dirawat di Sungai Buloh dan seorang warga Indonesia di Hospital Bentong.Dr Jeyaindran berkata tiada mangsa yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan semasa menerima rawatan di kesemua hospital berkenaan."Ini menunjukkan, kesemua kakitangan perubatan yang terlibat dalam misi ini terbukti telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan proses penyelamatan dan bedah siasat dilakukan dengan efisien dalam masa 24 jam selepas menerima panggilan mengenai kejadian ini pada Rabu," katanya.- BERNAMA