MAYAT WANITA MANGSA NAHAS...Pihak Hospital Kuala Lumpur menunjukkan kepada media seorang wanita serta sepasang pakaian dan subang dipakai mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Genting Highlands yang membabitkan sebuah bas ulang alik kelmarin untuk paparan agar individu yang mengenali mangsa dapat menuntut mayat tersebut di Kuala Lumpur pada Jumaat. -Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberikan gambaran dua mayat yang belum dikenal pasti, terlibat dalam kemalangan bas di Genting Highlands Rabu lepas.Jurucakap HKL berkata dua mayat berikut adalah seorang lelaki bermirip wajah Cina dan seorang wanita yang disyaki warga Afrika. "Mayat lelaki itu berketinggian 170cm, mempunyai kulit belakang tangan yang tebal dipercayai bekerja sebagai seorang buruh dan meninggalkan barangan peribadi iaitu dua anak kunci kereta di mana salah satu daripadanya dipercayai kereta model Nissan, dan sebuah 'key chain' berwarna hijau," katanya kepada pemberita di bilik mayat hospital itu di sini.Menurutnya, mangsa juga memakai rantai leher berwarna perak, kemeja-T berwarna kelabu jenama Spaldin dan seluar panjang berwarna hijau serta seluar pendek berwarna biru di dalamnya.Nahas bas yang terjunam 60 meter ke dalam gaung di Km3.5 Jalan Genting Highlands mengorbankan 37 penumpang termasuk pemandu bas manakala 16 lagi cedera. Sementara itu, mayat wanita pula berketinggian 161cm, berkulit gelap, memakai rambut palsu berwarna hitam serta pewarna kuku berwarna merah kegelapan, katanya."Mangsa memakai jaket berwarna hitam, berseluar merah jambu dan bertali pinggang serta memakai subang berwarna emas dan rantai berwarna perak," kata jurucakap itu. Beliau juga menerangkan keadaan fizikal mayat lelaki itu berbadan gempal manakala mayat wanita pula bertubuh kurus.Setakat ini, 10 mayat belum dituntut termasuk dua yang belum dikenal pasti itu. Mereka ialah Arthur Masih dan Sukhviv Singh, kedua-dua warga India; Prem Bahadur Budha Magar dan Nagendra Rai, kedua-dua warga Nepal; Kim Dongo (warga Korea), Bhuiyan Rafique Ali (warganegara Kanada berasal dari Bangladesh); Kamonthip Piamthananurak dan Kritravee Piamthananurak (kedua-dua warga Thailand). Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke Jabatan Forensik HKL.Sementara itu, sehingga tengah hari, empat mayat sudah dituntut keluarga masing-masing iaitu Loh Kim Lan, 78, Kwan Chin Yii, 22, Udamjit Singh (umur tidak diperolehi) dan Yap Moi, 60.Salah seorang waris mangsa tragedi tersebut, Yap Yop Peng, 57, ketika ditemui pemberita berkata kehilangan Yap Moi disedari apabila majikan tempat kakaknya bekerja memaklumkan mangsa tidak hadir ke tempat kerja semalam."Saya sudah lama tak jumpa dia. Saya ragu-ragu dan apabila check dengan bank, ada maklumat dia keluarkan duit di Genting Highlands."Saya datang sini selepas dengar ada kemalangan di Genting, dan selepas buat pengecaman mayat, memang dia kakak saya. Saya cam mata dan hidung walaupun ada kecederaan pada keseluruhan badannya," katanya. -BERNAMA