suria

Sultan Selangor Ingatkan Jemaah Haji Tidak Berdemonstrasi

SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri Selangor yang akan mengerjakan ibadah haji tahun ini agar tidak berdemonstrasi semasa berada di Makkah dan Madinah.

Baginda bertitah tindakan sedemikian pastinya menjejaskan nama baik rakyat Malaysia serta hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

"Beta menasihatkan bakal-bakal haji supaya dapat menjaga nama baik negeri Selangor dan juga negara Malaysia yang telah dikenali di kalangan pemimpin negara Arab sebagai jemaah haji berdisplin dan terbaik.

"Beta tidak berkenan rakyat negeri Selangor yang pergi menunaikan haji ke tanah suci Mekah dan Madinah mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi," titah baginda pada majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji tahun 1434H/2013 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Ahad.

Baginda turut mengingatkan bakal haji agar menunaikan ibadah haji dengan betul sebagaimana dituntut ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak terikut-ikut jemaah haji dari negara lain.

"Sebarang masalah yang berkaitan dengan ibadah haji hendaklah dirujuk kepada ahli agama yang disediakan Lembaga Tabung Haji. Beta yakin kursus haji yang telah diadakan ini mampu membantu jemaah mengerjakan ibadah haji dengan baik dan sempurna," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada bakal haji yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah kerana masih ramai yang telah berdaftar tetapi belum berpeluang menunaikan haji.

Seramai 3,600 jemaah haji musim ini merupakan dari Selangor termasuk dua yang dikurniakan oleh baginda iaitu Abdullah Apandi Ngalimin, 58 dan Baharun Mohd Noh, 71.

Sementara 14 orang lagi ditaja Tabung Waris, Kerabat dan Datuk-Datuk Diraja Selangor. - BERNAMA

Artikel Lain