suria

200 Teksi 1Malaysia Bakal Beroperasi Akhir Bulan Ini

SHAH ALAM: Sejumlah 200 unit Proton Exora yang dikeluarkan untuk kegunaan pemandu teksi di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia (Teks1M) bakal beroperasi sepenuhnya akhir bulan ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sehingga kini daripada 200 unit yang dikeluarkan untuk kumpulan pertama pemandu teksi oleh Proton Holdings Bhd, sebanyak 85 unit telah mempunyai pemilik.

SPAD yakin jumlah selebihnya bakal mempunyai pemilik masing-masing dan akan mula beroperasi penghujung bulan ini, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pemeriksaan Teksi1M di Puspakom di sini, Rabu.

Teks1M adalah inisiatif kerajaan melalui kerjasama SPAD dan Proton, dan melalui program itu, pemandu teksi menikmati satu pakej merangkumi harga kenderaan yang dikecualikan cukai jualan dan kastam.

Selain tidak perlu bayar wang pendahuluan, pemandu teksi mendapat kadar pinjaman sebanyak dua peratus dari Bank Simpanan Nasional, pakej penyelenggaran pada harga pasaran dan skim insurans komprehensif untuk satu tahun pertama. - BERNAMA

Artikel Lain