KUCHING: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menetapkan 14 Oktober sebagai tarikh tutup untuk menghantar pencalonan bagi jawatan dalam majlis itu, kata Naib Presiden Kanan I PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.Beliau berkata tarikh tutup penghantaran pencalonan untuk jawatan dalam pergerakan Pemuda dan Wanita parti pula ditetapkan 11 Oktober. "Pemilihan untuk jawatan-jawatan ini akan berlangsung semasa Konvensyen PBB yang akan diadakan di antara 18 dan 22 Okt ini di BCCK (Pusat Konvensyen Borneo Kuching)," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja persiapan konvensyen itu di sini, malam Jumaat.Menurutnya kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati parti itu akan menghadiri konvensyen itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kebangsaan pada 21 Oktober ini."Kita juga akan mengadakan satu seminar (sebagai satu acara di dalam konvensyen ini) bagi memperingati 50 tahun perjuangan PBB dalam politik dan pembangunan Sarawak," katanya.Awang Tengah berkata beberapa kertas kerja yang antaranya menyentuh aspek politik, pembangunan industri dan pendidikan teknikal akan dibentangkan pada seminar itu.Katanya pergerakan Pemuda dan Wanita PBB dijangka membentangkan usul untuk meminda perlembagaan parti dalam konvensyen kali ini bagi membolehkan jumlah anggota exco masing-masing ditambah."Ini (keputusan untuk menerima usul ini) akan bergantung kepada mesyuarat MKT yang akan diadakan semasa konvensyen ini juga," katanya. -BERNAMA