suria

35 Calon Ketua Sayap Menang Tanpa Bertanding Di Johor

JOHOR BAHRU: Sebanyak 35 calon ketua tiga sayap Umno di 26 bahagian Johor diumum menang bagi pemilihan bahagian masing-masing setelah tidak dicabar calon lain.

Bagi jawatan Ketua Wanita, sejumlah 12 calon menang tanpa bertanding antaranya Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad, yang juga penyandang sebelum ini.

Lima calon menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda iaitu Bastien Onn (Segamat), Salehudin Satar (Muar), Fauzani Salubin (Ayer Hitam), Khairul Anwar Rahmat (Kluang) dan Onn Hafiz Ghazi (Sembrong).

Bagi jawatan Ketua Puteri pula, semangat musyawarah dan kesepakatan ternyata menebal dalam kalangan anggota Puteri di negeri ini apabila 18 calon dari 26 bahagian menang tanpa bertanding.

Pemilihan pada Sabtu juga menyaksikan Ketua Wanita Umno Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mempertahan jawatan Ketua Wanita Umno bahagian Kluang setelah memperoleh 255 undi untuk menewaskan pencabarnya, Haslina Mohamed Dom yang meraih 68 undi.

Turut menang mudah ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang Normala Abdul Samad, yang juga Anggota Parlimen kawasan berkenaan yang menewaskan Naib Ketua Wanita Bahagian itu merangkap Ketua Wanita Umno Cawangan Mawar Utama Shahriah Ismail.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Johor, Abdul Rahman Johari berkata secara keseluruhan, perjalanan pemilihan tiga sayap di 26 bahagian berjalan lancar meskipun terdapat masalah kecil seperti kelewatan penerimaan senarai nama di beberapa kawasan.

"Pengalaman menggunakan sistem baru ini kita akan gunakan dan segala kelemahan akan kita atasi dalam mesyuarat pemilihan bahagian serta Majlis Tertinggi pada 19 Oktober nanti," katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan Umno Johor malam Sabtu.

Secara keseluruhan, terdapat 1,892 cawangan Wanita, 1,480 Pemuda dan 587 Puteri yang mengambil bahagian pada pemilihan kali ini dengan jumlah perwakilan 10,532 bagi Wanita, 7,801 Pemuda dan 3,596 Puteri. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan