suria

Adun Semambu Digantung Dari Hadiri Dua Sidang DUN Pahang

KUANTAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung digantung dari menghadiri dua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan datang kerana mendakwa Bajet 2014 yang dibentang kerajaan negeri sebagai 'bajet lebihan palsu'.

Speaker DUN, Datuk Ishak Mohamad membuat keputusan itu selepas majoriti daripada anggota dewan menyokong usul yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Lee apabila beliau gagal menarik balik dakwaan tersebut walaupun telah diberi peluang sebanyak dua kali oleh Speaker.

Terdahulu Adnan, pada sesi penggulungan Bajet 2014 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa memohon Lee, dari Parti Keadilan Rakyat, menarik balik kenyataan tersebut yang dibuatnya pada 19 November lalu.

Lee pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan dan Pembekalan Air 2014 Selasa lalu berkata jumlah lebihan RM2.19 juta dalam Bajet 2014 Pahang yang dibentangkan Adnan sebagai palsu.

Adnan kemudian berkata tuduhan itu adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Ketika menjawab permohonan Adnan hari ini, Lee cuba menukar perkataan palsu kepada 'kosmetik' dan ini menyebabkan Adnan berang dan mempersoalkan tindakan tersebut yang dilakukan secara tiba-tiba.

"Kalau kosmetik, cakaplah kosmetik! kenapa kata palsu? Apa maksud palsu? Kalau kata palsu kenyataan itu ibarat menghina dewan dan secara langsung orang boleh kata kerajaan menipu!," tegas Adnan.

Adnan sekali lagi meminta Lee menarik semula kenyataan tersebut namun beliau tetap enggan berbuat demikian sehingga memaksa Menteri Besar Pahang itu membuat usul tersebut sebelum sidang Dun berakhir pada Selasa.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Sidang Dun Pahang seorang Adun digantung daripada menghadiri mesyuarat sebanyak dua kali.

Speaker kemudian menangguhkan sidang DUN sehingga tarikh yang ditetapkan kelak. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan