KUALA LUMPUR: Sejumlah 80,000 surat bantahan berhubung kenaikan cukai taksiran DBKL yang dihantar setakat Isnin dengan tarikh akhir bantahan berakhir pada Selasa.Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau merasakan bilangan bantahan yang diterima tidak memadai dengan sejumlah 500,000 harta yang terletak di bandar raya itu. "Tengah malam ini merupakan tarikh akhir untuk semua pemilik harta bagi menyerahkan surat bantahan mereka."Setakat ini, semua surat bantahan mempunyai aduan dan alasan yang sama mengenai bantahan mereka," katanya selepas melancarkan kemudahan Park 'N Ride dekat Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS) di sini, Selasa.Kemudahan itu melibatkan peruntukan RM19 juta merupakan kawasan tempat letak kereta empat tingkat dengan 818 ruang parkir, yang turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai keselamatan tambahan.Kemudahan tersebut turut meliputi laluan bergerak untuk memudahakan pergerakan pengguna di Stesen KTM Komuter dan TBS.Ia dijangka akan memudahkan lagi bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan keretapi, bas bandar dan bas ekspres di beberapa bahagian Lembah Klang dan seluruh negara.Tengku Adnan menambah, beliau menjangkakan kemudahan Park 'N Ride dengan 10,000 ruang parkir akan dibina menjelang 2020 di beberapa lokasi termasuk Klang, Rawang, Nilai dan Salak Tinggi sebagai sebahagian daripada perancangan yang digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).