suria

Berhati-Hati Terima Bungkusan, Hamper Elak Dirompak - Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika menerima penghantaran bungkusan atau hamper di kediaman atau premis masing-masing untuk mengelak kejadian rompakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, peringatan itu dikeluarkan lebih-lebih lagi penghantaran bungkusan dijangka meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina akhir bulan ini.

Menjelaskan polis setakat ini belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian rompakan seumpama itu, beliau bagaimanapun berkata orang ramai harus berwaspada dengan taktik sedemikian yang mungkin digunakan penjenayah.

"Orang awam diminta sentiasa berhati-hati, jangan buka pintu pagar serta-merta. Tanya bungkusan itu dari mana dan untuk siapa sebelum menerimanya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata, mereka juga boleh meminta penghantar bungkusan atau hamper meletakkannya di luar pagar rumah dan mengambilnya kemudian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain