suria

10 Mac Sebutan Kes Pembantu Bengkel Cuci Kereta Rompak Kontraktor

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 10 Mac untuk sebutan kes seorang pembantu bengkel mencuci kereta yang dituduh melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang kontraktor dengan anggaran kerugian bernilai RM15,000 minggu lepas.

Fadzullah Iman Muliono, 23, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak Yow Man Kong@Senthil Kumar, 38, (keturunan Cina-India) seutas rantai leher emas di Lorong Hang Kasturi, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Dang Wangi, di sini pada 2.45 petang 4 Februari lepas.

Tertuduh yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Hakim Azwarnida Affandi membenarkan Fadzullah diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Di mahkamah yang sama, seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelajar lelaki dengan mengambil seutas rantai emas dan gelang emas yang kesemuanya bernilai RM2,000.

P.Munisperan, 27, bersama empat orang yang masih bebas didakwa merompak K.Suriyan, 19, di kaki lima sebuah restoran makanan Cina, Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini pada 12.30 tengah malam 5 Feb lepas.

Munisperan yang diwakili peguam T.Kasturi didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Azwarnida juga membenarkan Munisperan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan tarikh sebutan yang sama.

Kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain