suria

Bayi Ditemui Diurung Semut

MELAKA:  Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dengan bertali pusat ditemui dalam keadaan diurung semut oleh seorang wanita di belakang rumahnya di Taman Terendak Permai, di sini awal pagi Ahad. 

Mosliha Ahmad, 27, berkata bayi tersebut ditemui ketika dia mahu keluar mengambil berus tandas di belakang pintu kira-kira 8 pagi. 

"Saya hendak keluar untuk mengambil berus tandas yang diletakkan di belakang pintu di bahagian luar rumah. Namun, sebelum keluar saya terdengar suara bayi menangis sangat kuat dari luar lalu saya segera membuka pintu. 

"Kemudian saya lihat bayi perempuan dalam keadaan bogel, berlumuran darah yang sudah kering di seluruh badan serta kepala dan bertali pusat diurung semut.

"Saya panik, tergamam sebelum memanggil kakak saya, Sarah, yang kebetulan berada di dapur," katanya ketika ditemui di sini. 
Beliau dan kakaknya tak tahu nak buat apa kerana ibu dan ayah ke pasar borong bersama adik lelaki, Romil, 26. 

Katanya, mereka memberitahu adik lelaki, Romil, 26, yang kemudian menghubungi Tok Sidang yang datang ke rumah disusuli jururawat yang datang bersama ambulans serta polis. 

Sarah berkata, hanya rumah mereka daripada tujuh rumah lain yang sederet tidak mempunyai pagar belakang yang memudahkan bayi itu diletakkan di belakang rumah. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan P R Gunarajan yang mengesahkan penemuan bayi itu berkata, pihaknya meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung kelahiran bayi perempuan seberat 2.90 kilogram itu tampil ke balai polis berhampiran. 

 "Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di talian 06-2854222 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. 

Bayi berkenaan kini berada di Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut, katanya. - BERNAMA


jumpa bayi, bayi ditemui, bayi, jumpa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain