SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terpaksa melaksanakan program catuan air di beberapa kawasan di Tampin dan Rembau sekiranya paras air di empangan Gemencheh terus menurun. Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri itu tiada pilihan lain tetapi perlu melaksanakan catuan air jika musim kemarau berterusan. "Paras air di empangan tersebut akan terus menurun secara berterusan kerana musim kemarau dan ia boleh menampung bekalan air untuk tempoh sehingga 25 hari jika hujan tidak turun," katanya. Pada Jumaat lalu, paras air di empangan Gemencheh menurun kepada 99.95m, di atas paras kritikal 98m.