PETALING JAYA: Walaupun menyedari sukar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang namun Yuktes Vijay tetap akan memberi saingan. "Saya tidak bertanding untuk menang. Saya tidak akan naik pentas untuk memberi ceramah dan saya juga tidak akan memancing undi. "Saya mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pendidikan, kesihatan dan kepimpinan menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang saya tubuhkan sendiri," katanya yang berusia 25 tahun. Yuktes yang tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak pernah menjadi penyokong kuat Anwar dan pasukan peguam ketua pembangkang itu. Selain menentang Anwar, Yuktes juga akan bertembung dengan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun, dan calon bebas lain termasuk Datuk Zaid Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan dan penyanyi dangdut Herman Tino . Zaid dan Nallakaruppan juga bekas sekutu Anwar. Zaid keluar PKR pada tahun 2011 selepas mengadu terdapat penyelewengan dalam pemilihan parti bagi tahun 2010. Sementara itu, Nallakaruppan pula mendakwa akan membongkar segala kerja terkutuk yang pernah dilakukan Anwar yang merupakan rakan karibnya sebelum ini. Herman, yang masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pencalonannya, telah tampil dengan lagu baru sempena PRK Kajang yang bertajuk 'Nyamuk Nakal, Lipas Liar'. Menyamakan dirinya sebagai nyamuk, Herman mendakwa lipas itu adalah Anwar. Sehingga kini Herman belum memuat naik lagu tersebut di YouTube. Penyanyi itu turut menyatakan bahawa beliau tidak dibayar oleh sesiapa untuk bertanding serta berasa kuat untuk bertembung dengan Anwar yang menggunakan DUN Kajang untuk menjadi Menteri Besar.