suria

Pasangan Pelajar Universiti Maut Dirempuh Bas

Keadaan kereta yang dinaiki pasangan pelajar yang remuk akibat dirempuh bas dalam kemalangan di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah yang merancang untuk bertunang meninggal dunia di tempat kejadian dalam perlanggaran di antara sebuah kereta dan sebuah bas ekspres di Menggatal.

Rakan-rakan mereka berkata, Shazwan Hazlami Sharidzuan, dari Sandakan dan Norashila Abdullah, dari Miri, kedua-duanya berusia 23 tahun, telah menyatakan rancangan untuk bertunang selepas menamatkan pengajian dari kursus ijazah Pengurusan Perniagaan mereka.

"Mereka kedua-duanya amat komited dalam pelajaran dan juga merancang untuk bertunang dan mencari kerja bersama-sama selepas konvokesyen pada bulan September," kata rakan mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ajil, di Hospital Queen Elizabeth.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam Ahad, sebuah bas ekspres yang membawa 38 penumpang merempuh kereta yang dinaiki Shazwan dan Norashila.

Saksi berkata, bas terbabit, yang dalam perjalanan ke Tawau dari Kota Kinabalu menyeret kenderaan itu kira-kira 200 meter.

Pasangan itu meninggal dunia akibat kecederaan dari kepala hingga kaki.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Sabah Supt Ismadi Borhan berkata operasi untuk mengetatkan kawalan ke atas pemandu bas tidak bertanggungjawab akan dijalankan.

"Pemandu bas yang tidak memandu mengikut had laju akan dikenakan hukuman yang lebih berat. Kami juga memerlukan kerjasama orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa dalam memburu mana-mana pemandu yang memandu secara tidak selamat di jalan raya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain