ZHUZHOU (China): Enam gerabak pertama tren projek lanjutan LRT Ampang dijangka tiba di Malaysia September depan. Pengarah Kumpulan Bahagian Pembangunan Projek Prasarana Zulkifli Mohd Yusoff berkata tren terbaharu dan moden yang dibina oleh CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd adalah sebahagian daripada 50 gerabak tren yang akan diserahkan secara berperingkat bermula September tahun ini. "Kos keseluruhan bagi gerabak tren bernilai RM1 bilion, dengan 20 untuk penggantian dan 30 lagi untuk projek lanjutan baharu, akan beroperasi di 11 stesen baharu," katanya kepada pemberita selepas meninjau kilang CSR di sini Khamis. Tren ini akan menjalani ujian operasi selama enam bulan. Laluan tambahan 17.7km Ampang bermula dari stesen Sri Petaling, melalui Kinrara dan Puchong dan berakhir di Putra Heights, dijangka siap pada suku pertama 2016. Zulkifli berkata projek Laluan Ampang secara keseluruhannya sudah 45 peratus siap dengan fasa pertama dijangka siap pada Oktober tahun depan. "Kami menjangkakan set pertama tren ini mampu memuatkan kapasiti penumpang dua kali ganda berbanding jumlah sedia ada antara 200,000 dan 400,000 setiap hari," katanya dan menambah ia meningkatkan perkhidmatan dengan tren tiba setiap 2.5 minit. Zulkifli berkata tren baharu ini mempunyai sistem televisyen litar tertutup, ruang khas bagi penumpang kurang upaya dan sistem laluan paparan yang dinamik manakala ciri laluan yang membenarkan penumpang berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Tren ini juga dilengkapi sistem isyarat automatik dengan kehadiran atendan untuk berhenti secara automatik atau membuka pintu. "Semua ini diprogramkan secara automatik untuk kecekapan dan keselamatan yang lebih baik. "Orang ramai boleh berjalan ke mana sahaja di Kuala Lumpur semasa waktu puncak, dan kajian sedang dilakukan bagi memenuhi permintaan penduduk di Shah Alam untuk menyediakan sambungan dari Shah Alam ke Klang," katanya. Turut menyertai delegasi Prasarana ialah Pengarah Datuk Nor Amal Mohd Nazir, Pengarah Gantian Nazrin Abdul Masjid, Pengarah Kewangan Kumpulan Datuk Mohd Zahir Zabur Husin dan Pengarah Kumpulan Rel Khairat Mohamed.