SEREMBAN: Pemandu dan kelindan lori Pos Laju maut setelah lori mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa barangan plastik dan sebuah lori membawa muatan baja di Km 251.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah ke selatan dekat sini pagi Khamis. Mereka yang meninggal di tempat kejadian dikenali sebagai Hasmadi Safar dan Mohd Shahrim Mohd Saad. Lori mereka dilaporkan turut terbakar. Jurucakap polis berkata kedua-duanya sedang menuju ke arah selatan apabila kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira 4.10 pagi. Beliau berkata siasatan awal mendapati treler berkenaan yang datang dari arah selatan dikatakan melanggar belakang lori baja tersebut menyebabkan treler itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar lori Pos Laju. Treler itu juga terbakar, kata jurucakap itu.Kemalangan tersebut menyebabkan laluan trafik sesak sepanjang lima kilometer. Ketua Turus Trafik Negeri ASP Halil Hamzah mengesahkan kemalangan itu. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata pemandu lori Pos Laju itu didapati tersepit dan rentung manakala kelindannya pula meninggal kerana dipercayai sesak nafas. "Ketika bomba sampai, kita dapati dua kenderaan sedang marak terbakar. Berlaku tumpahan minyak yang menyebabkan kebakaran besar," katanya dan menambah sebanyak 39 anggota dan enam jentera dari Senawang, Seremban dan Seremban 2 terlibat dalam kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran.