suria

Najib Harap Hubungan Lebih Kukuh Dengan Industri Britain

Najib ketika berucap pada Ulang tahun Ke-50 Malam Gala Dewan Perniagaan dan Industri Britain di Kuala Lumpur, malam Khamis.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Malaysia dapat membangunkan hubungan yang lebih kukuh dengan industri Britain, terutama dalam Kewangan Islam dan meningkatkan peluang dalam pelaburan patuh Syariah.

"Tahun lepas, kami bersama-sama berjaya membawa Forum Ekonomi Islam Dunia ke London, dan dalam persaingan mesra dan kemakmuran bersama, kami gembira melihat UK memain peranan dalam pasaran kewangan Islam, katanya dalam ucapan pada Ulang tahun Ke-50 Malam Gala Dewan Perniagaan dan Industri Britain (BMCC) di sini Khamis.

Perdana Menteri berkata lawatan David Cameron dua tahun lepas juga memberi isyarat permulaan hubungan ekonomi yang kukuh, berasaskan kerjasama politik yang rapat.

"Untuk mengekalkan momentum ini, saya dan Perdana Menteri Cameron berjanji untuk meningkatkan pelaburan dan menggandakan hubungan dagangan dua hala kepada kepada £8bn, kira-kira RM26 bilion menjelang 2016.

"Komitmen ini diperlukan memandangkan hubungan yang sudah lama tidak selari dengan angka perdagangan dua hala kita," katanya.

Selain Kewangan Islam, Najib berkata hubungan dalam sektor pelancongan dengan UK juga tinggi.

"Tahun lepas 'Malaysia Night' menyaksikan Trafalgar Square diselubungi warna Malaysia. Lebih 35,000 pelawat menghadiri acara itu - dan, menyedari cita rasa warga Britain, saya rasa sebanyak itulah angka roti canai yang dijual," katanya.

Sempena Tahun Melawat Malaysia, Najib yakin BMCC akan terus memain peranan dalam menggalakkan rakyat Britain mengunjungi Malaysia sama ada untuk perniagaan atau santai.

"Matlamatnya hubungan penduduk-dengan-penduuk yang baik dan memperkaya hubungan ekonomi," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri juga menandatangani Inisiatif Sokongan Dagangan dua hala antara Malaysia dan UK dengan objektif untuk menggalakkan lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengeksport ke Malaysia.

Bidang tumpuan utama menerusi inisiatif itu ialah Inisiatif Rangkaian Perniagaan Luar negara yang dibangunkan untuk memberi bantuan dan perkhidmatan sokongan kepada PKS Britain yang mahu meluaskan operasi ke luar negara.

Najib berkata "Saya bangga Dewan Perniagaan Britainmemain peranan penting dalam memenuhi komitmen, menjadi rakan tempatan untuk inisiatif rangkaian peniagaan luar negara.

"Sudah banyak kita lalui. Dan Dewan perniagaan Britain Malaysia merupakan rakan yang sangat bermakna, merapatkan hubungan dua negara dengan mengenal pasti pelaung-peluang bersama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain