PETALING JAYA: Kerja-kerja mencari dan menyelamat pesawat MH370 KL - Beijing yang terputus hubungan dengan menara kawalan di Subang, pagi Sabtu akan tertumpu di Laut China Selatan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata kali terakhir penerbangan MH370 berhubung dengan menara kawalan adalah pada posisi 120 batu nautika dari Kota Bharu, merentasi Laut China Selatan. "Ia merupakan kawasan sempadan laut Malaysia - Vietnam," katanya pada sidang media khas di KLIA, Sabtu. Beliau berkata, kerjasama akan dilakukan dengan pihak berkuasa Vietnam dalam usaha menjejaki pesawat tersebut. Terdapat 38 rakyat Malaysia dalam pesawat MAS yang hilang itu. Penumpang lain ialah dari China (152 + 1 bayi), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika (3+1 bayi), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1), Austria (1). Anak-anak kapal yang berada dalam pesawat malang itu dikenal pasti sebagai Zaharie Ahmad Shah, Farid Ab Hamid, Patrick Francis Gomes, Andrew Nari, Goh Sock Lay, Tan Ser Kuin, Wan Swaid Wan Ismail, Junaidi Mohd Kassim, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, Ng Yar Chien, Foong Wai Yueng dan Tan Size Hiang. MH370 berkongsi kod penerbangan dengan China Southern Airlines. Menurut MAS, pesawat MH370 itu dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, seorang juruterbang veteran dengan mencatatkan 18,365 jam penerbangan. Beliau menyertai MAS pada 1981. Dalam penerbangan itu, beliau dibantu oleh Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid yang mempunyai pengalaman sebanyak 2,763 jam penerbangan. Beliau menyertai MAS pada tahun 2007.