Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri Nar Azaman Ibrahim berkata kesemua Pati dewasa yang ditahan berusia 20-an hingga 48 tahun bekerja sebagai buruh binaan dan dipercayai tinggal di rumah kongsi itu.
Katanya operasi bermula pukul 12 tengah hari itu menahan 25 warga Myanmar iaitu 21 lelaki, dua wanita serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan berusia setahun.
"14 rakyat Bangladesh dan 13 warga Indonesia; 10 lelaki, dua wanita serta seorang bayi perempuan turut ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas perjalanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu operasi itu di sini, Isnin.
Nar Azaman berkata 36 Pati ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah dan 13 lagi ditahan kerana melanggar syarat pas perjalanan sah.
Sementara itu dalam operasi lain, beliau berkata pihaknya menahan tujuh warga Myanmar iaitu lima lelaki dan dua perempuan serta seorang lelaki warga Indonesia di sebuah kilang membuat pintu di Kampung Alor Janggus, Napoh dekat sini.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.