PETALING JAYA: Dua anak lelaki kepada penumpang MH370 warganegara Kanada, Muktesh Mukherjee, 42, dan Xiaomo Bai, 37, yang masih kecil sedang cemas menunggu ibu bapa mereka untuk kembali dari percutian di Vietnam, lapor Canada.com . Pasangan itu telah menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang untuk kembali ke tempat tinggalnya di Beijing. Menurut profil LinkedIn Muktesh, bekas pemastautin Montreal itu telah berkhidmat sebagai naib presiden syarikat operasi China, Xcoal Energy and Resources, jawatan yang dipegang sejak Mei 2012. CBC News melaporkan bahawa Muktesh dan Xiaomo bertemu ketika beliau berada di Beijing atas urusan perniagaan pada Januari 2002 dan kemudiannya berkahwin di Montreal pada bulan Ogos tahun yang sama. Xiaomo dilaporkan telah belajar di Beijing Foreign Studies University. Muktesh adalah cucu kepada Mohan Kumaramangalam, salah seorang menteri dalam Kabinet bekas pimpinan Perdana Menteri India Indira Gandhi. Kumaramangalam meninggal dunia dalam kemalangan udara pada Mei 1973 di New Delhi. 'The Courier-Mail', Australia melaporkan bahawa pasangan Catherine, 54, dan Robert Lawton, 58, melancong ke Beijing setelah lama membuat perancangan dengan rakan-rakan mereka Rodney dan Mary Burrows, 59 dan 54. Catherine dan Robert Robert mempunyai tiga orang anak perempuan, Amanda, Melissa dan Glenda, dan dua cucu. "Ayah menelefon pagi ini dan berkata 'pesawat Bobby telah hilang'. "Saya tidak boleh mempercayainya. Saya masih tidak boleh percayakannya. Kami hanya mahu tahu di mana dia berada, di mana pesawat mendarat dan jika ada apa-apa yang tinggal," saudara Robert, David Lawton dipetik sebagai berkata. The New York Times bercakap dengan bapa kepada Philip Wood, 50, seorang lagi penumpang MH370 dan pekerja IBM di Kuala Lumpur. "Apa yang boleh anda lakukan? Apa yang anda boleh katakan?," kata bapanya, Aubrey Wood, dari rumahnya di Texas.