KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang pagi Sabtu. "Saya memberi jaminan kepada anda bahawa kita melakukan segala yang mungkin mengikut kemampuan kita. "Kita berterima kasih atas doa, bantuan dan semangat perpaduan anda," kata Najib dalam akaun Twitternya malam Ahad. Sementara itu, dalam tweetnya yang lain sebelum ini, Najib berkata apabila rakyat Malaysia menghadapi kesulitan banyak negara tampil ke depan menawarkan bantuan atas nama persahabatan. "Dalam masa kita memerlukan, persahabatan datang dalam pelbagai bentuk. Kita akan meneruskan usaha kita mencari MH370," kata Perdana Menteri. Antara negara-negara yang menawarkan bantuan kepada Malaysia ialah China, Vietnam, Filipina, Singapura, Indonesia, Australia dan juga Amerika Syarikat. Pesawat MAS MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pada hari yang sama. Ia membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.