SEPANG: Lima penumpang melakukan daftar masuk bagasi penerbangan MH370 yang hilang tetapi tidak menaiki pesawat tersebut. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan laporan bahawa lima penumpang telah membeli tiket dan membuat pendaftaran bagasi tetapi tidak terbang. Beliau berkata MAS telah mengeluarkan bagasi penumpang-penumpang berkenaan setelah mengetahui mereka tidak menaiki kapal terbang itu, mengikut prosedur standard. "Tetapi kita perlu mengeluarkan bagasi yang telah didaftar masuk ...kita telah melakukannya terhadap pesawat ini," katanya. Beliau berkata bagasi tersebut adalah'bersih' setelah menjalani pemeriksaan. Beliau juga berkata pihak berkuasa masih menunggu analisis sampel minyak diambil dari tompokan di laut untuk menentukan sama ada ia adalah dari pesawat yang hilang. Seorang lagi pegawai berkata keputusan kajian mungkin diperolehi selewat-lewatnya petang Isnin. "Kami sedang melihat setiap sudut. Kami meninjau setiap aspek apa yang mungkin boleh berlaku," katanya.