suria

Kepentingan Nasional Tak Akan Diketepi Untuk Penuhi Kehendak Pihak Tertentu

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan melepaskan kepentingan nasional hanya semata-mata untuk memenuhi kehendak atau tuntutan pihak tertentu dalam melaksanakan pelan perdamaian nasional, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Beliau berkata, politik adu domba dan persepsi negatif disebarkan pihak tertentu sejak berlalunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan kebelakangan ini, menyebabkan hubungan muhibah rakyat mulai longgar. 

"Keadaan ini boleh merosakkan kerukunan dan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Oleh itu, kita perlukan penyatuan nasional untuk menambah baik hubungan kaum. 

"Ia bukan sekadar 'appeasement' (tindakan untuk menenangkan). Ia bertujuan memupuk semangat kebersamaan di kalangan rakyat untuk turut sama-sama berperanan membina negara yang bersatu-padu dalam mendepani cabaran masa depan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang ingin mengetahui model dan terma yang dicadangkan kerajaan berkaitan pelan perdamaian nasional.

Pada 29 Januari lepas, anggota mesyuarat Kabinet telah meneliti satu pelan untuk membangunkan serta menggalakkan persekitaran kondusif yang dapat membantu menyemarak perdamaian nasional menerusi perpaduan dan konsensus di dalam negara.

Najib menjelaskan pelan penyatuan nasional ini berteraskan kepada empat tonggak utama iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.

Menurutnya, pelan ini lebih kepada melibatkan kolaborasi, pendirian bersama dan membina persefahaman demi kebaikan agama serta masyarakat.

Dalam menjayakan pelan itu, perdana menteri berkata, kerajaan berusaha sedaya mungkin dalam membina hubungan baik dengan semua pihak dan golongan termasuk negeri-negeri dikuasai pembangkang.

"Kerajaan sentiasa komited dan bersifat terbuka, mengadakan dialog, engagement (keterlibatan) dan perbincangan libatkan pelbagai kelompok, komuniti dan pertubuhan bagi memupuk semangat muhibah, hubungan erat sesama rakyat, toleransi dan patriotisme kepada negara," katanya.


najib tun raza, abdul hadi awang

Artikel Lain