STOCKHOLM: Suasana pilu menyelubungi sesi pertemuan semula antara rakyat Malaysia, Salwati Nurshal yang dibicarakan di Sweden atas dakwaan memukul anaknya dengan adiknya Shalena Hisham Makhzan yang menjaga anak-anaknya buat sementara waktu. Shalwati dibenarkan oleh mahkamah untuk bercakap dalam pertemuan singkat dengan Shalena walaupun adik-beradik itu tidak dibenarkan membuat sebarang sentuhan secara fizikal. Shalena bercakap mengenai ulang tahun anak sulung Shalwati, Aishah yang berumur 15 tahun pada hari ini. Kedua-dua Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalluddin tidak berjumpa dengan anak-anak mereka sejak ditahan pada 18 Disember lalu dan hanya melihat anak-anak mereka memberikan testimoni dalam temuramah bersama polis yang dirakamkan lebih awal. Bercakap kepada para pemberita sewaktu waktu rehat makan tengah hari, Shalema berkata, dia bersyukur kerana berpeluang untuk bercakap dengan kakaknya meskipun mereka tidak dibenarkan memeluk antara satu sama lain. "Saya diperlukan untuk datang ke sini. Ia sudah lama," kata Shalena yang mengalirkan air mata. "Kami ok. Sekurang-kurangnya, saya dapat bercakap dengannya dan abang ipar saya Azizul. Saya amat sayangkan mereka," katanya. Shalena berkata, dia memberitahu kakaknya bahawa anak-anak mereka berada dalam keadaan baik dan berjanji akan terus menjaga adik-beradik itu dengan baik. Aishah dan adik-beradiknya, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif,7 ditempatkan di bawah jagaan ibu saudara mereka, Shalena dan suami Nik Farid Nik Abdullah sejak mereka pulang ke Malaysia pada 1 Februari lalu. Sejak itu, adik-beradik itu bersekolah dan tinggal di Kota Bharu. "Saya bangga dengan kakak saya. Walaupun berhadapan dengan keadaan sebegitu, dia dapat menanganinya dengan baik. "Saya kenal kakak saya. Dia begitu kuat dan dia tahu tentang hak dia," kata Shalena. Pasangan suami isteri itu selesai memberi keterangan, dengan hari kesepuluh yang menyaksikan perbicaraan diteruskan dengan testimoni oleh beberapa guru dan ibu bapa mengenai bagaimana anak-anak mereka didakwa telah dipukul. Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul didakwa di atas kesalahan pencabulan integriti kanak-kanak secara kasar dengan memukul dan mendera anak-anak mereka. Perbicaraan diteruskan pada hari ini (Selasa).