suria

Malaysia Dikritik Kerana Maklumat Bercanggah

KUALA LUMPUR: Misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang diperluas ke arah barat laut Laut Andaman, jauh dari laluan penerbangan yang sepatutnya dan dalam masa yang sama mendedahkan Malaysia untuk berdepan kritikan bahawa tindakan yang telah diambil adalah kucar-kacir.

Tiada isyarat atau kesan pesawat telah dijumpai sejak ia hilang pada Sabtu, dan maklumat bercanggah serta tidak lengkap daripada pihak berkuasa Malaysia telah menaikkan kemarahan saudara-mara yang perlu menunggu dalam tempoh yang lama, satu penantian yang tidak tertanggung untuk mendapatkan berita mengenai orang tersayang.

"Kami tidak akan meninggalkan apa-apa peluang. Kita perlu melihat setiap kemungkinan," kata Ketua Pengarah Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang mengesahkan misi mencari diperluaskan ke Laut Andaman yang terletak di utara pulau Sumatera Indonesia.

Beliau tidak menyatakan sama ada keputusan untuk mengembangkan usaha pencarian beratus-ratus kilometer ke barat laut itu yang jauh dari kawasan pencarian asal dan melibatkan banyak negara adalah berdasarkan sesuatu indikasi kukuh bahawa kapal terbang mungkin berada di sana.

Pihak berkuasa sebelum ini telah memperluaskan zon carian di Selat Melaka, pantai barat Malaysia selepas memetik data radar yang menunjukkan satu "kemungkinan" pesawat itu mungkin telah mengubah laluan dari laluan penerbangan sebenar di Laut China Selatan.

Tetapi peralihan kawasan carian telah mengundang persepsi di kalangan pemerhati rasmi.

Perasaan kecewa memuncak di Malaysia, dengan media sosial yang aktif di negara itu dan beberapa syarikat akhbar yang simpati terhadap keluarga saudara-mara menunjukkan kemarahan kerana pencarian yang sia-sia.

Pengguna Twitter mempersoalkan laporan yang bercanggah dan kekeliruan sama ada pesawat itu melencong dari laluan yang sepatutnya.

"Jika tentera Malaysia tidak melihat MH370 bertukar arah ke arah Selat Melaka, mengapa melakukan pencarian? Siapakah membuat keputusan untuk mencari di sana dan mengapa?" menurut satu komen.

Penganalisis berkata tekanan kepada pihak berkuasa Malaysia boleh menjejas dan merumitkan usaha mencari dan menyelamat.

"Tekanan orang awam boleh menyebabkan struktur arahan dan kerjasama carian terjejas. Ini bukan apa yang kita mahu," kata Gerry Soejatman, seorang penganalisis penerbangan bebas yang berpangkalan di Jakarta. - AFP
mh370, mas, dca, beijing

Artikel Lain