Pengarah Projek Hak Asasi Manusia Uyghur, Alim Seytoff terpanggil untuk menamatkan khabar angin itu dan sebaliknya meminta orang ramai membiarkan kerajaan Malaysia menjalankan siasatannya tanpa sebarang gangguan.
"Pada masa berdepan tragedi yang besar seperti ini, adalah penting untuk membiarkan kerajaan Malaysia melakukan siasatan dan mendedahkan sepenuhnya apa yang telah berlaku kepada pesawat Malaysia kepada orang ramai," katanya dalam e-mel kepada 'The Star'.
Alim, yang juga Presiden Persatuan Uyghur Amerika berkata dalam masa yang sama, adalah penting untuk berhenti daripada menjadikan rakyat Uyghur sebagai mangsa tanpa bukti.
Spekulasi bahawa Uyghur, etnik minoriti di China dikaitkan dengan kejadian itu telah bertiup kencang.
Sebuah kumpulan yang dikenali sebagai 'Chinese Martyrs Brigade' mendakwa menghantar surat mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu kepada wartawan Cina awal minggu ini.