KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan bahawa kawasan Anjung Tinjau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak lagi digunakan sebagai kawasan menunggu dan Pusat Resepsi Rakan Keluarga bagi penumpang serta anak kapal pesawat MH370 yang hilang awal pagi Sabtu lepas. Menurut kenyataan MAHB, satu dinding ditempatkan di situ bagi membolehkan orang ramai menulis harapan serta doa mereka terhadap penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines itu. "Orang ramai diminta menggunakan venue lebih sesuai seperti masjid dan tempat ibadat lain untuk bersembahyang," katanya. Anjung Tinjau, yang terletak di Tingkat 5 Bangunan Terminal Utama, digunakan sebagai pusat bagi memudahkan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 sejak Sabtu lepas. Sementara itu, Dewan Ulamak PAS, Pemuda PAS Selangor dan Persatuan Perubatan Islam Darussalam mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di ruang legar berhampiran Anjung Tinjau, yang dihadiri kira-kira 200 orang. Pesawat Boeing 777-200 milik MAS itu, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi, Sabtu. Operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari keenam hari ini, masih gagal mengesan pesawat itu.