PUTRAJAYA: Dalam kesibukan petugas media tempatan dan antarabangsa membuat liputan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS)MH370, seorang wartawan TV luar negara mendakwa kehilangan RM15,000 apabila beg miliknya dicuri di sebuah hotel pada Khamis. Selain wang tunai, Chan Wai Li, lelaki berusia 36 tahun dari Now TV, sebuah stesen TV swasta Hong Kong itu turut kehilangan dokumen perjalanan, dompet, kad kredit dan pita rakaman kamera video. Chan yang merupakan Penolong Pengarang Berita, Now TV mendapati begnya hilang pukul 4 petang, selepas pulang dari pusat beli belah Alamanda yang terletak berhampiran dengan hotel itu setelah membeli kad prabayar bersama dua lagi rakannya. Beliau membuat liputan berita kehilangan penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu. Beg galas itu dipercayai dilarikan seorang lelaki yang disyaki sudah berada di sini sejak semalam. Suspek keluar dari lobi hotel bersama beg dipercayai berisi pasport dan wang tunai Penolong Pengarang Berita NOW TV Hong Kong, Chan Wai Li di Lobi Hotel Everly, Putrajaya. Foto: BERNAMA Chan yang kelihatan panik segera memaklumkan kehilangan beg itu kepada pengurusan hotel dan sejurus selepas itu wajah dan pergerakan suspek dapat dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Dalam rakaman CCTV, suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil beg itu dan meninggalkan hotel itu ketika kebanyakan petugas media sibuk membuat liputan di ruang lobi hotel. “Saya tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan dan mencuri ketika kita (petugas media) buat liputan berita. "Ada RM15,000 dan dokumen penting seperti pasport dalam beg itu,” katanya kepada pemberita. Chan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.