suria

Telefon Saya Aktif 24 Jam Untuk Rakyat - Chew

Chew ketika bertemu penduduk di sekitar Kajang sebagai persediaan memberikan perkihdmatan terbaik jika dipilih sebagai wakil rakyat.

KAJANG: Calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun berikrar akan memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada 23 Mac ini.

Tegas Chew, beliau sendiri akan turun padang bagi mendengar keluhan rakyat tanpa mewakilkan kepada pembantunya atau orang tengah.

"Saya harap pengundi di sini dapat memberi sokongan supaya saya boleh berikan perkhidmatan terbaik tanpa melalui pembantu atau setiausaha saya.

"Saya janji akan menjadi wakil rakyat yang senang didekati dan dihubungi. Telefon bimbit saya diaktifkan selama 24 jam, boleh hubungi saya bila-bila masa," katanya ketika berkempen di Pangsapusi Taman Kota Cheras di sini.

Tegas Naib Presiden MCA itu, rakyat harus bijak memilih seorang wakil rakyat yang mudah didekati dan sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan setiap masa apabila diperlukan.

Menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini, Chew akan berhadapan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam saingan satu lawan satu.

Wan Azizah yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon menggantikan suaminya yang sepatutnya bertanding di kerusi DUN Kajang.

Mengulas lanjut Chew berkata, pengundi di Kajang boleh melihat rekod perkhidmatannya sewaktu menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara termasuk ketika menjawat jawatan dalam kerajaan.

"Saya akan berada bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan setiap masa.

"Jika dipilih, saya akan berada di pusat khidwat wakil rakyat sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk membolehkan orang ramai datang dan berbincang menyelesaikan masalah," katanya.


BN, PKR, Chew Mei Fun

Artikel Lain