KAJANG: Barisan Nasional (BN) akan memberi 'pengajaran' sewajarnya kepada pembangkang sekiranya berterusan mempersendakan sistem demokrasi di negara ini apabila dengan sengaja mewujudkan pilihan raya kecil tanpa sebab munasabah. Tegas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat juga harus menghukum tindakan pembangkang itu kerana menjadikan pilihan raya sebagai medan meraih simpati dan mengukuhkan kedudukan politik. "Pembangkang ini tidak ada agenda penting selain menghabiskan masa rakyat turun mengundi dalam pilihan raya yang tidak perlu. "Kalau ada lagi wakil rakyat mereka yang meletak jawatan...BN akan ada di situ untuk pastikan mereka jatuh terjunam," katanya ketika berucap pada program mesra rakyat di Pangsapuri Taman Kota Cheras di sini Khamis malam. Sebelum ini dilaporkan bahawa pemimpin pembangkang membayangkan kemungkinan untuk mengadakan 'langkah Kajang' yang seterusnya iaitu wakil rakyat mereka diminta untuk mengosongkan kerusi tanpa sebab. Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan terus berperanan membela nasib rakyat dan pengundi di sesuatu kawasan yang terus dipermainkan pakatan pembangkang dengan pilihan raya yang tidak perlu. "Sebab itu pilihan raya kecil ini penting untuk rakyat jadikan landasan bagi halang elemen negatif yang di bawa pakatan pembangkang dari terus berleluasa," katanya. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini juga dibuat selepas wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusinnya tanpa sebab. Pada PRK ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).