suria

Wakil Kerajaan Asing Hadiri Taklimat Tertutup Mengenai Pesawat MH370

SEPANG: Satu taklimat penuh kepada wakil kerajaan asing yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta mempunyai warganegara yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lepas, diadakan pada Sabtu.

Taklimat tertutup kira-kira sejam di Hotel Sama Sama di sini, disampaikan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan, Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Antara wakil kerajaan asing yang hadir ialah China, India, Australia dan Brunei Darussalam.

Taklimat diadakan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Sabtu, khususnya perkembangan terbaharu operasi SAR MH370. 

Najib, dalam sidang media itu, antara lain berkata operasi SAR di Laut China Selatan dihentikan dan penggunaan aset akan dinilai semula berikutan maklumat terbaharu menunjukkan pergerakan pesawat itu sengaja dipesongkan dari laluan asal.

Perdana menteri juga memaklumkan bahawa berdasarkan perkembangan terkini misi mencari pesawat MH370, pihak berkuasa telah memfokuskan semula tumpuan penyiasatan mereka kepada anak kapal dan penumpang pesawat itu.

Beliau turut mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan oleh radar utama adalah pesawat MAS MH370.

Mengenai laporan media kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada punca penerbangan MH370 dipesongkan dari laluan penerbangan asalnya.

Setakat ini, 58 kapal dan 43 pesawat dari 14 negara terlibat dalam operasi SAR itu.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 malam Sabtu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Artikel Lain