NEW DELHI: India pada Isnin menolak dakwaan bahawa negara itu boleh menjadi sasaran yang dirancang dalam serangan ala tragedi 11 September menerusi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang masih hilang, lapor AFP. Walaupun Perdana Menteri Manmohan Singh berjanji untuk memberikan bantuan maksimum dalam mengesan pesawat MH370, Menteri Luar India berkata, adalah amat penting misteri berhubung nasib semua penumpang dan anak kapal diselesaikan. Namun ketika ditanya rangkaian CNN-IBN mengenai dakwaan bahawa pesawat itu dirampas dengan tujuan untuk diterbangkan ke India, Menteri Luar Salman Khursid berkata: 'Saya tidak rasa kita telah pergi sejauh itu'. Berhubung spekulasi yang dihangatkan lagi oleh bekas Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Strobe Talbott yang menulis di Twitternya bahawa 'arah, bahan api dan jarak' kini menguatkan lagi andaian pesawat itu dirampas untuk serangan ala tragedi 11 September di India. Kenyataannya itu sepanjang minggu lalu dipetik oleh media India dan Khurshid berkata, orang ramai memerlukan jawapan untuk meredakan kebimbangan mereka. "Kami harap agar dapat membuat kesimpulan yang boleh dipercayai dan meyakinkan," katanya. The Times of India berkata sumber keselamatan negara itu telah menolak dakwaan bahawa pesawat itu boleh berada di mana-mana lokasi berhampiran pusat bandar dan menegaskan ia akan dikesan oleh pangkalan tentera laut di Pulau Andaman, lebih 1,000 kilometer di luar tanah besar India. - AFP