KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi belum boleh beroperasi kerana kandungan ammonia di Sungai Langat masih di paras tinggi. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan bahawa hujan di beberapa kawasan sejak semalam masih gagal memulihkan keadaan air di sungai yang menjadi sumber air mentah untuk kedua-dua loji itu. Oleh itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor masih diteruskan dan ia berjalan lancar. Pelan dilakukan bagi menangani masalah kekurangan bekalan air terawat disebabkan penutupan dua loji itu selain kekurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan Klang Gates. Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Persatuan Air Malaysia (WMA)berkata persidangan air Asia 2014 akan diadakan di sini dari 19 hingga 21 Mac yang antara lain akan memberi tumpuan kepda isu membiayai dan menguruskan air serta air kumbahan. Persidangan itu dijangka mengumpulkan pihak berkepentingan dalam industri air termasuk pakar-pakar, pembuat dasar dan orang awam. Persidangan anjuran persatuan itu akan menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman antara WMA dan Australian Water Association mengenai pembinaan keupayaan dan perkongsian kepakaran bagi sektor air dan air kumbahan.