PETALING JAYA: Setiap juruterbang telah dilatih untuk melakukan pendaratan kecemasan di atas air tetapi tugas tersebut adalah sukar dan memerlukan banyak latihan. Seorang tenaga pengajar juruterbang yang enggan dikenali berkata, semua juruterbang telah dilatih untuk melakukan pendaratan di air melalui simulator tetapi masih mempunyai prosedur yang perlu diikuti. "Juruterbang perlu cuba mendarat di permukaan tidak rata dengan meminimumkan kerosakan pada pesawat. "Ia bukan tugas yang mudah walaupun bagi juruterbang terbaik," katanya yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun sebagai tenaga pengajar. Jelasnya, pesawat mampu mendarat di mana-mana kawasan yang mempunyai permukaan rata dan keras. "Jika mendarat atas Air, lebih baik mendarat di permukaan air yang tenang, malangnya kita tidak boleh membuat pilihan," katanya. Menurutnya, juruterbang mempunyai amalan untuk mendarat di mana-mana sahaja jika pesawat berada dalam keadaan tidak terkawal seperti berlakunya kebakaran. "Walaupun perlu mendarat di atas lebuh raya, juruterbang akan melakukannya untuk mengurangkan risiko," ujarnya.