BEIJING: Ahli keluarga penumpang MH370 pada Selasa mengugut akan melancarkan mogok lapar sehingga mereka dimaklumkan tentang di manakah hilangnya pesawat itu. "Sekarang kami masih menunggu berita dan semua orang risau tentang masa depan ahli keluarga masing-masing di atas pesawat tersebut. Kami akan ke pejabat Kedutaan Malaysia di sini untuk berjumpa dengan duta besar dan menuntut jawapan daripadanya," kata Wen Wancheng, yang mana anaknya merupakan salah seorang penumpang pesawat malang itu. Wen berkata, ahli keluarga mangsa kecewa kerana pihak kedutaan tidak datang untuk bertemu mereka. Menurut Wen, pihak Penerbangan Malaysia (MAS) mengadakan pertemuan harian dengan wakil-wakil keluarga di sebuah hotel yang menempatkan mereka di sini. "Kini yang terbaru saya sendiri mendengar mereka (ahli keluarga) menjerit untuk melancarkan mogok lapar," kata Wen yang berusia 63 tahun dan berasal dari wilayah Shandong. Usaha mencari dan menyelamat telah memasuki hari ke-11 menjelang Selasa. Dua pertiga daripada 239 penumpang pesawat yang hilang itu terdiri daripada warga China. Sementara itu di luar bilik pertemuan antara pihak keluarga dan MAS, seorang wanita sambil memegang poster menjerit yang mereka akan melancarkan mogok lapar jika keadaan tidak berubah. Wanita itu enggan memberikan namanya apabila ditanya oleh wartawan agensi berita AFP. Wanita tersebut membuat kesimpulan yang pihak berkuasa Malaysia menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ahli keluarga penumpang pesawat itu. Dalam pada itu, Wen memberitahu yang sudah ada ahli keluarga yang enggan menghadiri pertemuan harian dengan MAS.