KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menahan 85 orang termasuk dua wanita dalam Ops Cantas Khas Rentap di sekitar ibu negara mulai Jumaat lepas hingga Selasa. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun itu ditahan atas kesalahan kesalahan termasuk mencuri kenderaan, mempunyai rekod dikehendaki, memiliki dadah, berjudi, samun berkawan dan menculik. "Seramai 1,866 individu termasuk 11 wanita, turut diperiksa sepanjang operasi berkenaan dan sebanyak 579 kenderaan turut diperiksa dalam tempoh masa tersebut. "Sebilah parang, sebuah telefon bimbit dan dadah jenis heroin seberat 132 gram turut rampas dalam operasi berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.