JAKARTA: Indonesia mengeluarkan 49 kebenaran terbang untuk pesawat-pesawat dari tujuh negara mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang selepas tumpuan mencarinya beralih ke Lautan Hindi. "Berikutan pencarian untuk pesawat MH370 yang hilang bertukar ke koridor selatan yang meliputi kawasan Indonesia, kami setakat ini telah memberi 49 kebenaran terbang untuk pesawat asing melalui wilayah kami," kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Jumaat. Pesawat asing itu adalah dari Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Malaysia, New Zealand, Korea Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu. Penerbangan pesawat Boeing 777-200ER ke Beijing itu dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Pada mulanya pencarian pesawat itu tertumpu di Laut China Selatan tetapi kawasan pencarian telah diperluaskan meliputi pantai barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi apabila terdapat maklumat pesawat itu telah mengubah haluan setelah seseorang di atas kapal terbang itu menutup sistem perhubungannya dengan sengaja dan pesawat itu telah terbang selama beberapa jam lagi selepas itu. Pencariannya kemudian ditumpukan ke dua koridor, koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan yang bermula dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.