suria

Malaysia Minta Bantuan AS, UK Sementara Tunggu Maklumat Dari Australia

Pesawat Poseidon antara aset tercanggih di dunia yang digunakan untuk operasi mencari MH370.
PETALING JAYA: Malaysia masih menunggu maklumat dari Australia berhubung imej yang dirakamkan satelit pada 16 mac lalu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sementara menunggu maklumat tersebut, operasi mencari akan diteruskan di koridor selatan dan utara dengan Malaysia akan meminta bantuan dan kerjasama dari negara-negara luar.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berhubung dengan kerajaan Britain untuk mendapatkan bantuan.

"Saya telah bercakap dengan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi di United Kingdom pagi ini dan beliau mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghubungi Perdana Menteri David Cameron mengenai usaha mencari pesawat MH370 yang hilang termasuk penghantaran kapal lautnya.

"Kerajaan Britain juga telah mengesahkan akan menyenaraikan aset yang mungkin boleh dikerahkan yang diperlukan dalam operasi mencari," katanya pada sidang media MH370 di Hotel sama-Sama di sini, Jumaat.


Hishammuddin berkata beliau sendiri akan menghubungi Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel malam ini mengenai bantuan yang boleh diberikan dalam usaha mencari dan menyelamat.


"Saya akan bercakap dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada pukul 9.15 malam ini untuk meminta bantuan kepakaran aset yang dapat membantu operasi mencari," katanya.


Beliau berkata antara bantuan yang diperlukan termasuklah aset dan kepakaran yang mampu menjalankan operasi di laut dalam.

Beliau berkata setakat ini China telah mengerahkan lima buah kapal dan tiga buah helikopter yang sedang dalam perjalanan ke koridor selatan.

"Tiga pesawat China IL-76 Ilyushin dan Y-8 Shaanxi telah tiba di Malaysia pada 11 pagi ini juga akan melakukan pencarian di koridor selatan," katanya.

Selain itu, Jepun juga mengerahkan aset-asetnya termasuk dua pesawat ke Perth, Australia untuk membantu operasi mencari yang diketuai Australia.

Dalam pada itu Hishammuddin turut mengakui bahawa operasi mencari adalah mencabar.

Katanya pesawat-pesawat yang dihantar untuk mencari adalah yang paling canggih dalam dunia seperti P-3C Orion dan P-8A Poseidon.

Amerika, United Kingdom, MH370

Artikel Lain